Tuesday, September 9, 2008

Bulan Ramadhan: Anugerah dari Allah s.w.t..

Bulan Ramadhan: Anugerah dari Allah s.w.t..

Setiap muslim pasti merasai kedatangan bulan penuh barakah, iaitulah bulan Ramadhan. Bermula sejak dari bulan Rejab sehinggalah Sya'ban, ramai dalam kalangan mereka yang sudah mempersiapkan diri untuk menyambut kehadiran Ramdhan Al-Mubarak. Ada yang memperbanyakkan puasa di kedua-dua bulan tersebut di samping amal ibadah yang lain, untuk seterusnya menjadi suatu motivasi buat dirinya untuk lebih mempertingkatkan amalan di bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan hadir dengan seribu satu pengertian. Ia hadir setiap tahun dengan pelbagai kelainan. Setiap bulan Ramadhan, kelazatannya pasti berbeza, kerana Allah s.w.t. Maha Kaya dan anugerahNya tiada bandingannya.

Namun, apabila menjelang bulan Ramadhan, ramai manusia mempunyai tanggapan dan persepsi serta perasaan yang berbeza-beza. Ada sebahagian daripada mereka, apabila bulan Ramadhan tiba, pertama sekali di fikirannya adalah "lapar". Maka, itulah sebenarnya bahagian untuknya di bulan tersebut. Ada juga apabia Ramadhan tiba, apa yang paling difikirkannya adalah penat, maka itulah bahagian untuknya di bulan tersebut. Ada pula apabila bulan Ramadhan tiba, apa yang difikirkannya: "bilakah Ramadhan akan berakhir?", maka orang tersebut pada hakikatnya telahpun tertegah daripada mendapat keberkatan bulan Ramadhan.

Namun, bagi golongan yang benar-benar mengerti nilai kehambaan diri mereka kepada Allah s.w.t., apabila tibanya bulan Ramadhan, maka apa yang difikirkan adalah: "bagaimana untuk mencapai redha Allah s.w.t. sempena berada di bulan Ramadhan yang penuh dengan kerahmatan ini?". Inilah kunci kejayaan orang-orang yang berjaya mendapat kelebihan bulan Ramadhan tersebut. Selain daripada golongan ini, mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan tersebut.

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana nilai amal ibadah dilipat gandakan di sisi Allah s.w.t, kerana sifat pemurah Allah s.w.t.. Amalan puasa di siang bulan Ramadhan sangat berkait rapat dengan kesabaran, oleh kerana itulah, pahala amalan tersebut dilipat gandakan sebanyak-banyaknya, bahkan melebihi tujuh ratus kali ganda, tidak seperti amalan-amalan lain. Ini kerana, ganjaran bagi orang yang bersabar tiada terhitung banyaknya.

Amalan puasa bukan sahaja suatu amalan yang tersendiri di bulan tersebut, tetapi juga diiringi dengan amalan solat sunat di malam bulan Ramadhan tersebut. Kelazatan bulan Ramadhan lebih berganda jika ibadah puasa di siangnya disertai dengan ibadah solat sunat Tarawih di malamnya, samada secara sendirian ataupun secara berjemaah di masjid. Ini kerana, gandingan puasa di siang hari dan solat sunat di malam hari membina sebuah kitaran kehidupan yang penuh dengan santapan kerohanian.

Bahkan, anak-anak juga mudah dididik untuk menunaikan solat sunat Tarawih di malam hari serta berpuasa di siang bulan Ramadhan sekadar kemampuan mereka, kerana madrasah Ramadah sudah menyediakan sebuah lingkungan atau persekitaran yang saling membantu dalam mengerjakan amalan-amalan tersebut. Kanak-kanak akan sentiasa ingin mengikut ayahnya pergi ke masjid untuk solat sunat Tarawih kerana rakan-rakannya juga turut berada menunaikan solat tarawih di masjid tersebut. Begitu juga dengan puasa di siang hari, di mana suasana masyarakat Islam yang sibuk berpuasa menyebabkan anak-anak juga rasa terpanggil untuk turut berpuasa bersama-sama seluruh umat Islam, kerana antara tabiat seorang kanak-kanak itu sendiri adalah suka mengikut suasana itu sendiri.

Jadi, amat malang juga bagi ibu bapa yang tidak mengambil peluang sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, untuk mentarbiah anak-anak mereka ke arah melakukan ketaatan dan amal ibadah, sedangkan suasana ibadah di bulan Ramadhan itu sendiri boleh membantu memberi motivasi kepada kanak-kanak dalam ketaatan.

Walaubagaimanapun, masih ramai dari kalangan umat Islam itu sendiri tidak mempunyai hubungan rapat dengan bulan Ramadhan. Mereka tidak menghayati kedatangan bulan tersebut dengan penghayatan yang tinggi, padahal bulan Ramadhan hadir sebagai peluang baginya untuk memperbaiki dirinya dan hubungannya dengan Tuhannya.

Antara faktor-faktor yang boleh menguatkan ikatan hati kita dengan bulan Ramadhan adalah, niat kita, matlamat kita, tujuan kita, hajat kita yang kita inginkan sempena kehadiran bulan Ramadhan.

Ada orang, bila datangnya Ramadhan, hajatnya tidak lain melainkan untuk mendapatkan bulan Syawal, iaitu hari Raya. Itulah orang yang paling malang. Hari Raya itu sendiri tiada erti buatnya.

Tetapi, seorang hamba yang benar-benar peka dengan hubungan dirinya dengan Tuhannya, atara hajat dan matlamatnya dalam bulan Ramadhan adalah untuk mempertingkatkan lagi kualiti ketaatan dan kehambaan kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk terus mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mudah untuk mendekatkan diri kepadaNya. Jika seseorang menyambut kehadiran bulan Ramadhan dengan niat yang sebegini, maka hari pertamanya di bulan Ramadhan itu sendiri sudah memberi makna yang sangat mendalam dalam dirinya serta dapat mencapai kelazatan iman melebihi beribadah seribu bulan di bulan-bulan lain.

Namun, ramai manusia letih dan terasa lapar di bulan Ramadhan kerana hidupnya seharian hanyalah suatu interpretasi antara dirinya dengan perutnya semata-mata. Ini kerana, selama ini, tujuan hidupnya hanyalah untuk mengumpul kesenangan duniawi, untuk memenuhkan isi perutnya semata-mata. Oleh kerana itu, di bulan Ramadhan sekalipun, apa yang paling menyibukkannya adalah perutnya.

Bagi mereka yang menjalani seluruh kehidupan dalam rangka untuk mencari keredhaan Allah s.w.t., dengan menunaikan tugas kehambaannya kepada Tuhannya, maka usaha menunaikan kehambaannya itu sendiri mampu menyibukkan dirinya daripada lapar perutnya, sehingga tidak terasa lagi lapar ketika berpuasa, melainkan hanya merasa kelazatan dalam melakukan ketaatan berpuasa tersebut semata-mata.

Oleh sebab itulah, kita katakan, niat itu sangat memainkan peranan dalam menentukan hala tuju seseorang dalam menjalani kehidupan khususnya di bulan Ramadhan yang penuh makna ini.

Di antara kemanisan dalam bulan Ramadhan (yang mana ianya boleh dirasai pada bulan-bulan seterusnya setelah berjaya mencapainya di bulan Ramadhan tersebut), seseorang hamba boleh menyatukan kehendaknya dengan kehendak Tuhannya. Di bulan Ramadhan ini, Rasulullah s.a.w. banyak menjelaskan bahawasanya, Allah s.w.t. ingin mengampuni dosa-dosa para hambaNya. Oleh yang demikian, jika kamu banya bertaubat dan meminta ampun kepadaNya, maka secara tidak langsung kehendak kamu seiring dengan kehendakNya yang ingin mengampunimu. Di situlah antara adab tertinggi kehambaan jika kamu mengerti rahsia pengabdian diri kepadaNya.

Banyakkanlah juga membaca Al-Qur'an dengan menggandakan bacaan berbanding dengan bulan-bulan biasa kerana bulan Ramadhan adalah bulan peluang di mana suasana beribadah itu sangat menjadi penyokong kepada seseorang muslim untuk terus melakukan ketaatan. Tidur seseorang yang berpuasa itu ibadah adalah ungkapan motivasi bagi seorang muslim yang sering disalah ertikan. Seharusnya yang kita fahami daripada ungkapan tersebut, tidur bagi seseorang yang berpuasa pun ibadah, apatah lagi melakukan ibadah itu sendiri. Maka ia adalah ibadah dalam ibadah.

Ia suatu yang tidak dapat dicapai melainkan hanya di bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, banyakkanlah melakukan amal ibadah terutamanya membaca Al-Qur'an kerana ianya merupakan antara sunnah Baginda Nabi s.a.w.. Dengan banyak membaca Al-Qur'an di bulan Ramadhan jugalah, ikatan hati seseorang dengan bulan Ramadhan akan bertambah kuat kerana bulan Ramadhan itu sendiri adalah bulan Al-Qur'an atau bulan turunnya Al-Qur'an. Jadikanlah eratkanlah lagi hubungan kamu dengan bulan Ramadhan melalui bacaan dan hafalan Al-Qur'an serta mendalami makna-maknanya. Barakah dan kunci kejayaan seseorang dalam bulan Ramadhan ada pada kuatnya hubungannya dengan bulan Ramadhan dalam rangka untuk meningkatkan hubungannya dengan Tuhannya.

Bulan Ramadhan, bulan rahmat. Bulan Ramadhan, bulan Maghfirah (keampunan). Bulan Ramadhan bulan Itqu (pelepasan dari siksaan). Bulan Ramadhan, bulan Mahabbah. Demikianlah gedung-gedung anugerah dalam bulan anugerah, di mana kuncinya adalah sejauhmana kita menghargai kehadiran bulan Ramadhan tersebut. Niat adalah kunci dan asas. Jika seseorang tahu apa yang dia cari, maka mudahlah dia melakukan sebarang pengorbanan untuk mendapatkannya.

Salam Ramadhan…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Qadir

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari