Sunday, July 6, 2008

Ikhwan, Murid dan Murod

Bismillah...Alhamdulillah...Selawat dan Salam atas Rasulillah s.a.w.

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengatakan:


IKHWAN: Mereka yang bersama-sama dengan kita (murid) dalam mengambil bai'ah dari seseorang sheikh atau mursyid (murad). Mereka ialah orang-orang yang duduk di bawah satu tarbiah tarikat dengan kita (murid). Oleh itu, setiap murid bagi seseorang sheikh atau murad, merupakan ikhwan antara satu sama lain.

MURID: Orang yang mahu untuk tidak mahu. Murid ialah seseorang yang mahu mencapai tahap "tidak mahu melainkan apa yang Dia mahu terhadap diri mereka" (MURAD), melalui jalan tarikat sufiyah dengan mengambil bai'ah dari seseorang mursyid yang sudah sampai tahap MURAD. Mereka melalui proses tarbiah dari sheikh atau mursyid mereka samada dengan proses ISTIQOMAH (dengan aurad dan zikir), atau MUJAHADAH (dengan khalwat dan melawan hawa nafsu) atau sebagainya.

MURAD: Orang yang tidak mahu melainkan apa yang Dia (Allah) mahu. Mereka adalah orang-orang yang sudah mencapai darjat di mana, tidak ada lagi iradah (keinginan) nafsu kemanusiaandalam diri mereka, tetapi setiap tindakan mereka adalah kerana keinginan Allah s.w.t., hatta keinginan mereka sendiri, merupakan keinginan dari Allah s.w.t. Mereka tidak memilih untuk melakukan sesuatu melainkan Allah s.w.t. yang memilih untuk mereka apa yang mereka akan lakukan, samada melalui lintasan, ilham, atau isyarat yang mereka fahami dari sir mereka. Mereka adalah golongan yang sudah melenyapkan keinginan basyariyah (sifat-sifat) mereka bahkan iradah-iradah mereka telah diserapi oleh iradah ketuhanan ke atas diri mereka. Hal ini seperi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, di mana Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytihar perang ke atasnya....Apabila Aku mencintai seseorang, maka Aku akan menjadi matanya yan mana dia melihat dengannya,Aku akan menjadi tangannya yang dia menyentuh dengannya, ..." (Al-Hadis)

Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan tentang tiga istilah tersebut, dari Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani Al-Syazuli.

Wallahu a'lam...

No comments: