Wednesday, July 2, 2008

Jejak Kasih: Sheikh Al-Habib Yusuf Al-Hasani Menjejaki Semula Anak-anak Murid Beliau Khususnya di Malaysia

Jejak Kasih: Sheikh Al-Habib Yusuf Al-Hasani Menjejaki Semula Anak-anak Murid Beliau Khususnya di Malaysia

Sheikh Al-Habib Yusuf bin Muhyiddin Al-Bakhur Al-Hasani tiba di Malaysia sebulan lepas (31 Mei 2008) dalam rangka untuk menjejaki semula anak-anak murid beliau yang pernah ditarbiah dan dididik oleh beliau khususnya di Mesir suatu ketika dahulu. Dengan rasa penuh kasih dan sayang sepertimana seorang ayah merindui anak-anaknya yang sudah lama tidak dijumpainya, Sheikh Al-Habib Yusuf mengunjungi setiap negeri yang didiami oleh anak-anak murid beliau.

Kunjungan beliau bermula di Negeri Sembilan di mana beliau melawati anak murid kesayangan beliau, juga seorang ustaz yang bertanggungjawab membawa majlis selawat beliau di Bahau, iaitu Ustaz Nasir. Sheikh Yusuf menzahirkan penuh rasa kegembiraan apabila rindunya terubat dengan menemui anak-anak murid beliau seperti Ustaz Nasir, Ustaz Hafiz, Ustaz Fuad, Ustaz Rasyid (Negeri Sembilan), Ustaz Mustofa Tayyib (Kelantan), Ustaz Habib Ibrahim (Pahang), dan sebagainya.

Begitu juga beliau melanjutkan kunjungan ziarah beliau ke Kuala Lumpur dengan ditemani oleh Al-Akh Faiz bin Zainal Abidin, untuk bertemu dengan anak-anak murid beliau khususnya di Kuala Lumpur, seperti Ustaz Nik Bakri, Al-Fadhil Haji Muhammad Nor dan sebagainya.

Seterusnya, beliau ke Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang serta Kedah dalam rangka menemui anak-anak murid beliau yang lain seperti Ustaz Tuan Syarifuddin, Ustaz Muhaimin (di Kelantan), Ustaz Al-Habib Hafiz Al-Aidarus (di Terengganu), Ustaz Hasyim, Ustaz Zaki, Ustaz Izab Hanbali, Ustaz Shahul Hamid (di Pulau Pinang), Ustaz Zaini, Ustazah Huda (di Kedah) dan sebagainya.

Rasa kegembiraan terzahir di wajah Al-Habib Yusuf kala bertemu dengan anak-anak muridnya yang telah sekian lama mengambil haluan hidup masing-masing sehinggakan seolah-olah, ikatan ahbab al-hasani di Malaysia hampir tidak kelihatan antara ikhwan. Al-Habib Yusuf dalam kunjungannya kali ini sering memberi harapan kepada para muridnya agar terus mengukuhkan ikatan "ahbab-hasani" dalam rangka untuk menyebarkan dakwah Islam kepada masyakarat dengan manhaj yang dibawa oleh Sheikh Al-Habib Yusuf.

Sheikh Yusuf mengingatkan para muridnya agar tidak membiarkan duniawi merampas mereka daripada jalan dakwah yang mulia. Sheikh Yusuf menyatakan kesediaan beliau untuk berada bersama ahbab beliau di Malaysia dalam tempoh masa yang tertentu sekiranya para ahbab menyatakan kesediaan mereka untuk memperuntukan waktu mereka untuk terus berada dalam majlis tarbiah dan ta'lim sheikh sekiranya beliau jadi tinggal bersama-sama mereka.

Sheikh Yusuf Al-Hasani menyandarkan harapan yang tinggi kepada para ahbab khususnya di Malaysia untuk meneruskan kesinambungan manhaj dakwah dan tarbiah yang beliau warisi daripada para mursyid beliau terdahulu.

Sheikh Yusuf Al-Hasani sentiasa menyatakan pesanan kepada para ahbabnya di Malaysia agar tidak meninggalkan majlis selawat yang diamalkan sejak sekian lama oleh para shuyukh terdahulu, kerana majlis tersebut merupakan suatu majlis yang penuh keberkatan dan ianya merupakan antara manhaj tarbiah utama dalam jalan menuju Allah s.w.t..

Sheikh Yusuf Al-Hasani juga menyeru kepada para ahbab agar menjaga ikatan ukhuwwah ahbab-hasani sesama mereka dalam rangka memantapkan lagi perjalanan dakwah. Sheikh Yusuf sering menyuruh agar sesama ahbab saling bantu membantu dan berusaha agar dapat sentiasa bersama-sama mengadakan majlis selawat di peringkat pusat selain majlis selawat mingguan di negeri masing-masing.

Sheikh Yusuf juga mengingatkan para ahbab agar sentiasa mendoakan beliau di sebalik ketiadaan beliau di sisi mereka. Sheikh Yusuf Al-Hasani sentiasa mendoakan para muridnya dan sentiasa menyatakan rasa kasihnya kepada mereka kerana baginya, para muridnya adalah lebih berharga daripada dunia dan segala isinya, kerana dengan merekalah, beliau mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. dalam usaha dakwah dan tarbiah tersebut.

Semoga Allah s.w.t. terus menjaga, menaungi dan membantu dakwah Sheikhna Yusuf Al-Hasani dan semoga Allah s.w.t. membalas jasa Sheikhna Yusuf di atas pengorbanan, jasa dan tarbiah beliau kepada kami, para ahbab beliau.

Amin…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Al-Razi

No comments: