Tuesday, July 1, 2008

Manaqibul Ulama': Sheikh Sheikhna Sidi Abdul Qadir Isa r.a.

Nama dan Nasab Beliau:

Nama beliau ialah, Sidi As-Sheikh, Abdul Qadir bin Abdullah bin Qasim bin Muhmmad bin Isa Azizi Al-Halabi As-Syazuli.

Nasab beliau bersambung kepada Saidina Al-Husein r.a. melalui susur jalur As-Sheikh Umar Al-Ba'aj.

Kelahiran Beliau:

Beliau dilahirkan di madinah Halab As-Syuhba' pada tahun 1338 Hijrah bersamaan dengan 1920 Masihi. Ibu bapa beliau merupakan orang awam yang tidak tahu membaca dan menulis, namun hidup dalam keadaan senang.

Kehidupan Beliau:

Pada awal kehidupan beliau, beliau sentiasa memakai pakaian yang indah-indah, memakai perhiasan yang mewah dan memakai wangi-wangian yang tinggi harganya di pasaran.

Setelah itu, Allah s.w.t. menarik beliau dengan jazbah inayah (tarikan bantuan dan hidayah Allah s.w.t.) yang mana menyebabkan setelah itu, beliau hidup dalam keadaan zuhud.

Bermula dari saat itulah, beliau bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan zuhud dalam rangka untuk membersihkan diri dari belenggu nafsu. Keadaan itu berlanjutan sejak 1939 Masihi sehinggalah tahun 1942 Masihi.

Beliau banyak menceburi pelbagai bidang pekerjaan namun tidak tetap di dalam pekerjaan tersebut. Setelah itu, Allah s.w.t. memberi bantuan kelapangan hidup kepadanya tanpa disangka-sangka dan seterusnya terpandu ke arah berjalan menuju Allah s.w.t..

Kemudian, terdetik di hatinya untuk mempelajari ilmu agama. Maka, beliau pun bersahabat dengan ramai para ulama' antaranya:

As-Sheikh Muhammad Zammar

As-Sheikh Ahmad Mua'wwad

Dan sebagainya.

Setelah itu, beliau mengambil jalan tarikat di bawah tarbiah As-Sheikh Al-Mursyid Hasan Hassani, yang merupakan sheikh bagi tarikat Al-Qadiriyah. Maka, beliau melalui jalan tarbiah sufiyah di bawah tarbiah As-Sheikh Hasan. Setelah itu, Sheikh Hasan memberi izin kepada beliau dengan Khatam Al-Qadiri. Dalam pada beliau mengambil tarbiah tersebut, beliau juga belajar di Madrasah As-Syu'baniyah pada tahun 1949 sehinggalah enam tahun tempoh pengajiannya.

Beliau juga secara sukarela menjadi imam di Masjid Hamad, sebuah masjid yang usang dan tidak lagi digunakan oleh orang untuk menunaikan solat Jumaat. Akhirnya, pada 21/1/1957 Masihi, beliau memulakan usaha untuk membaik pulih masjid tersebut agar boleh digunakan semula.

Beliau juga turut mengajar di Madrasah As-Syu'baniyah dan pengajian beliau diikuti oleh ramai murid. Walaupun beliau telah mendapat keizinan untuk menjadi Sheikh, namun beliau masih merasakan diri serba kekurangan dan jahil, serta masih memerlukan tarbiah dari seorang mursyid yang kamil. Beliau pernah berkata:

(( كنت أقرا في كتاب شرح الحكم لابن عجيبة فأرى فيه أشياء لم أكن متحققا بها -رغم كوني شيخاً- فعرفت انه لا بد لي من صحبة مرشد كامل))

Maksudnya: Aku telah membaca buku Syarah Hikam bagi Ibn 'Ajibah, maka aku dapati pada karangan tersebut, ada beberapa perkara yang aku masih lagi tidak merealisikannya (tidak sampai kepada tahap tersebut)-walaupun aku telah dilantik menjadi sheikh-. Oleh yang demikian, tahulah aku bahawa, aku perlu mencari dan bersahabat dengan seorang mursyid yang kamil.

Beliau seterusnya bermusafir ke Damsyiq untuk mencari mursyid tersebut. Beliau sering berulang-alik dari Halab ke Damsyiq untuk mencari seorang mursyid yang kamil namun masih tidak lagi menemuinya. Sekiranya beliau singgah ke Damsyiq, beliau sering bersolat di masjid yang menempatkan maqam Ibn Arabi dan bertawassul kepada Allah s.w.t. dengan Ibn Arabi, agar ditunjukkan oleh Allah s.w.t., perihal mursyid tersebut.

Suatu ketika, dia terlena di sisi maqam Ibn Arabi, lalu terdengar satu suara dalam mimpi yang menyuruhnya pergi ke masjid Umawi untuk mencari Sheikh Muhammad Al-Hasyimi.

Setelah tersedar, beliau bergegas ke Masjid Umawi Al-Kabir dan mendapati Sheikh Muhammad Al-Hasyimi sedang mengajar sambil dikelilingi oleh segelintir manusia sahaja. Sheikh Muhammad Al-Hasyimi r.a. merupakan Sheikh kepada tarikat As-Syazuliyah.

Apabila Sheikh Muhammad Al-Hasyimi melihat beliau, maka Sheikh berkata:

(( جئت آخر الناس و تكون أولهم بإذن الله فأنا أنتظرك منذ زمن طويل((

Maksudnya: Kamu datang sebagai manusia terakhir (muridnya yang terakhir yan datang), tetapi kamulah yang pertama (mendapat futuhat) dengan izin Allah s.w.t.. Sudah lama saya menunggu kehadiranmu.

Setelah itu, Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. bersahabat dengan Sheikh Muhammad Al-Hasyimi r.a. sejak tahun 1952 Masihi sehinggalah kewafatan Sheikh Muhammad Al-Hasyimi.

Takkala Sheikh Muhammad Al-Hasyimi mendapati bahawa, Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. sudah cukup keahliannya untuk menjadi mursyid, maka Sheikh Muhammad Al-Hasyimi r.a. memberi kepada beliau dengan izin wirid am dan khas bagi tarikat As-Syazuliyah, dan turut juga memberi izin irsyad kepada beliau dengan izin bertulis, pada tahun 1337 Hijrah (1958M).

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. terus menjadi Imam dan Khatib di Masjid Hamad sehinggalah kematian Sheikh Muhammad Al-Razzaz, yang merupakan imam dan khatib kepada Masjid Al-'Adaliyah, di mana setelah itu, Sheikh Abdul Qadir Isa menggantikan tempat beliau di Masji Al-'Adaliyah tersebut.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. giat dalam mengembangkan tarbiah Islamiyah Sufiyah yang sahih, bersesuaian dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan dianggap sebagai seorang mujaddid dalam bidang tasawuf pada zaman beliau. Anak-anak murid beliau amat ramai di peringkat antarabangsa umumnya. Beliau sering berdakwah ke serata dunia sehinggalah sampai ke barat seperti ke Kanada, Perancis Amerika dan sebagainya.

Detik-detik Kewafatan

Pada tahun 1991 Masihi, Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. menziarahi para ikhwannya di Turki. Di sana, beliau jatuh sakit lalu dimasukkan ke hospital. Kemudian, beliau dipindahkan ke hospital di Istanbul. Di sana, para doktor berasa terkejut kerana tidak dapat mengesan sebarang penyakit dalam jasad beliau. As-Sheikh terbaring sambil hatinya dan seluruh tubuhnya menghadap kepada Allah s.w.t., kekasih beliau yang hakiki.

Beliau membacakan beberapa bait sya'ir untuk menguatkan semangat mereka yang di sekeliling beliau agar tidak terus bersedih dengan keadaan yang beliau hadapi. Dalam membacakan rangkap-rangkap bait syair yang berisi cinta ketuhanan tersebut, matanya tidak berhenti mengalirkan air mata, tanda kerinduan kepada Maha Pencipta.

Pada hari Sabtu, pukul 6 pagi, 18 Rabi'ul Akhir 1412 Hijrah (1991 Masihi), beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dunia kehilangan sebuah permata yang berharga. Tempat terakhir beliau ialah bersebelahan dengan maqam Saiyyidina Abu Ayyub Al-Ansari r.a. di Istanbul.

Al-Fatihah dihadiahkan buat hadrat As-Sheikh Al-Mursyid Abdul Qadir Isa r.a.…Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas roh beliau, membalasi

Jasa beliau dan seterusnya menempatkan beliau di kalangan

Para kekasihNya yang hampir kepadaNya. Semoga

Allah s.w.t. memanfaatkan kita semua dengan

Ilmu dan keberkatan beliau di dunia

Dan di akhirat

amin…

No comments: